Empat penyakit dalam satu
norlaila@hmetro.com.my
KENCING MANIS, tekanan darah tinggi, kegagalan buah pinggang dan sakit jantung — empat penyakit yang saling berkait rapat. Biasanya jika seseorang ada kencing manis, dia berisiko tinggi mengalami tiga penyakit lain, terutama jika gagal mengawal paras gula dalam darah.
Dianggarkan di seluruh dunia ada kira-kira 250 juta pesakit kencing manis dan catatan menunjukkan kebanyakannya meninggal dunia akibat komplikasi penyakit. Punca utama kematian di kalangan pesakit kencing manis ialah masalah jantung dan kegagalan buah pinggang.
Di Malaysia, jumlah pesakit kencing manis kini mencecah 1.2 juta orang dengan catatan 650,000 kes baru setiap tahun. Kebanyakan pesakit tidak sedar mereka menghidap penyakit kronik ini hinggalah mengalami pelbagai gejala yang menjejaskan kualiti hidup.
Pakar perubatan percaya kebanyakan pesakit menghidap kencing manis beberapa tahun sebelum penyakit dikesan. Yang membimbangkan, lebih lama seseorang itu menghidap kencing manis, lebih tinggi risiko untuk mendapat komplikasi penyakit.
Kencing manis adalah penyakit zaman moden paling nyata dan menjadi punca kematian kelima tertinggi di dunia. Dianggarkan satu kematian berlaku dalam setiap 10 saat akibat kencing manis.
Komplikasi kencing manis boleh dibahagi kepada dua iaitu:
- Mikrovaskular (membabitkan kerosakan salur kecil) seperti kerosakan mata dipanggil retinopati diabetes yang mengakibatkan pesakit hilang penglihatan, kegagalan buah pinggang, kerosakan saraf kaki dan meningkatkan risiko kaki dipotong.
- Makrovaskular (membabitkan salur darah besar) lebih mudah berlaku pada kadar empat kali lebih tinggi berbanding komplikasi mikrovaskular. Kencing manis boleh meningkatkan risiko penyakit jantung, strok, penyakit vaskular periferal (PVD iaitu salur darah besar pada kaki).
- 55 peratus kematian kerana komplikasi jantung
- 13 peratus kes kematian kerana paras gula tidak terkawal
- 13 peratus kes kematian kerana kanser
- 19 peratus kes kematian kerana lain-lain penyakit
Namun, komplikasi kematian akibat kencing manis boleh dibendung. Ini didapati daripada kajian klinikal terbesar, ADVANCE anjuran syarikat farmaseutikal Servier yang membabitkan pesakit kencing manis di seluruh dunia.
Kajian dilakukan untuk menjawab beberapa isu yang belum diselesaikan berkaitan kawalan tekanan darah dan pengurusan glukos dalam diabetes mellitus, iaitu jenis kencing manis yang dihidapi pesakit dewasa.
Antara keputusan dalam cabang yang mengkaji penurunan tekanan darah menunjukkan gabungan komposisi tetap ubat perindopril dan indapamide iaitu rawatan untuk hipertensi (tekanan darah tinggi), dapat meningkatkan kelangsungan hidup dan mengurangkan masalah jantung dan buah pinggang dalam pesakit kencing manis.
Gabungan ubat yang diberi mencatat pengurangan ketara terhadap jumlah kematian keseluruhan (sehingga 14 peratus) dan risiko kematian akibat penyakit jantung (sehingga 18 peratus).
Dalam perkataan mudah, dalam tempoh lima tahun kajian, satu kematian dapat dielakkan untuk setiap 79 orang pesakit yang dirawat dengan gabungan rawatan perindoril dan indapamide.
Selain itu, risiko berlaku kejadian membabitkan jantung berkurang sebanyak 14 peratus dan 21 peratus bagi kejadian penyakit buah pinggang. Ini bermakna, satu kejadian koronari dapat dielak untuk setiap 75 pesakit yang diberi rawatan ini.
Kajian ADVANCE dilakukan secara rawak di pelbagai pusat membabitkan 11,140 pesakit kencing manis di 215 pusat dari 20 negara di Asia (termasuk Malaysia), Australasia, Eropah dan Amerika Utara; iaitu negara yang mengalami masalah kencing manis serius.
Di negara kita, kajian dilakukan di lima pusat iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Hospital Besar Ipoh, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Besar Pulau Pinang.
Pemilihan pesakit untuk kajian ini dibuat berdasarkan beberapa kriteria, iaitu berumur melebihi 55 tahun dan ada sejarah komplikasi penyakit makro dan mikro vaskular dalam tempoh tahun sebelum menyertai ujian, menunjukkan tanda faktor risiko lain serta menghidap hipertensi atau tekanan darah normal.
Kajian itu membabitkan empat cabang untuk menyelidik fungsi jantung dan mata selepas gabungan medikasi, keberkesanan kos dan kualiti kehidupan dan faktor genetik.
No comments:
Post a Comment